Feb 12, 2010

isu kalimah ALLAH

Pointers Larangan Penggunaan Kalimah Allah Dalam Penerbitan Agama Kristian

Apakah Latar Belakang Larangan Tersebut?

• Pada 31 Disember 2009, Gereja Roman Katolik telah dibenar menggunakan perkataan Allah dalam penerbitan mingguannya, Herald-The Catholic Weekly setelah Mahkamah Tinggi berpendapat bahawa setiap individu mempunyai hak berperlembagaan untuk menggunakan kalimah Allah.

• Hakim Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa – Kuasa Khas), Datuk Lau Bee Lan ketika membenarkan permohonan tersebut berkata Gereja Katolik selaku pemohon mempunyai hak untuk berbuat demikian di bawah Perlembagaan Persekutuan.

• Kementerian Dalam Negeri bagaimanapun telah memfailkan notis rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi tersebut serta memohon penangguhan pelaksanaan perintah yang dibuat oleh Hakim tersebut.

• Mahkamah Tinggi kemudiannya telah menangguhkan pelaksanaan perintah yang membenarkan penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan Herald- The Catholic Weekly, berikutan persetujuan Menteri Dalam Negeri dan Gereja Katolik demi kepentingan negara.


Apakah Alasan Gereja Katolik Menggunakan Kalimah Allah?

• Mendakwa mereka mengikut Bible. Bible dalam bahasa Melayu menggunakan kalimah ‘Allah’ sebagai terjemahan istilah ‘God’ dan ‘Tuhan’ sebagai terjemahan untuk istilah ‘Lord’.

• Mendakwa bahawa mulai awal abad ke-19, para penganut Katolik di Malaysia telah pun memiliki buku-buku doa dalam bahasa Melayu dan kalimah ‘Allah’ telah digunakan sebagai terjemahan kepada istilah ‘God’. Para penganut Katolik Malta juga menggunakan kalimah ‘Allah’ untuk merujuk kepada Tuhan dan demikian juga masyarakat Kristian di Indonesia, Pakistan dan Asia Barat.

• Mendakwa ayat-ayat al-Quran sendiri telah menunjukkan bahawa golongan bukan Islam juga telah menggunakan lafaz Allah.

• Mendakwa bahawa segmen (terjemahan) dalam bahasa Malaysia diwujudkan untuk memenuhi keperluan kepelbagaian etnik dan bahasa yang wujud di Malaysia sebagaimana yang wujud di dalam populasi penganut Katolik di Malaysia.

• Mendakwa kerajaan tidak mempunyai hak untuk campurtangan dalam urusan dalaman gereja berdasarkan hak yang diberi oleh Perkara 11(3)A Perlembagaan Persekutuan.

Apakah Hujah-Hujah Penolakan Alasan Pihak Gereja Katolik Dalam Penggunaan Kalimah Allah?

• Kalimah ‘Allah’ adalah kata nama khas berasal daripada Bahasa Arab dan ianya tidak boleh digunakan dalam bentuk atau makna-makna lain. Kalimah Allah adalah bebas daripada segi struktur nahu dan maknanya dari segala korupsi. Dari segi struktur linguistik, kalimah Allah lebih superior daripada apa jua perkataan atau bahasa dalam memelihara dan mempertahankan makna ke-Esaan dan keunikan Allah yang satu.

• Dalam konteks Malaysia kalimah “Allah” tidak diterjemahkan kepada bahasa Melayu atau bahasa Malaysia malah ia dikekalkan tanpa penterjemahan. Kalimah Allah di Malaysia adalah merujuk terus kepada makna yang terkandung di dalam Al-Quran tanpa pengubahsuaian pada lafaz mahupun maksud kalimah tersebut. Oleh itu kalimah ‘Allah’ tidak boleh dianggap sebagai terjemahan Tuhan dalam bahasa Melayu atau ‘God’ dalam bahasa Inggeris kerana ia adalah lafaz Bahasa Arab yang dikekalkan sebagai mematuhi kitab suci umat Islam yang telah membudaya dalam masyarakat Islam dan dimaklumi sebaiknya oleh bukan Islam di negara ini.

• Gereja Katolik tidak boleh membandingkan Malaysia dengan negara-negara lain yang menggunakan kalimah Allah bagi merujuk ‘God’ kerana setiap bahasa yang digunakan oleh setiap bangsa di negara tertentu mempunyai sejarah dan kebudayaan yang berbeza.

• Pihak Gereja Katolik tidak boleh membandingkan pihak Kristian Arab menterjemah Bible daripada Bahasa Suryani ( Syria/Syam) atau Aramik dan Bahasa Ibrani kepada bahasa Arab kerana bahasa-bahasa tersebut berada dalam rumpun bahasa yang sama iaitu rumpun Semitik. Adalah tidak rasional sekiranya pihak Gereja Katolik menterjemahkan ‘God’ dalam Bible Bahasa Inggeris kepada ‘Allah’ dalam Bible Bahasa Melayu.

• Menjadikan Al-Quran sebagai rujukan untuk menyokong alasan golongan bukan Islam menggunakan kalimah ‘Allah’ melambangkan kegagalan Gereja Katolik untuk berhujah berasaskan teks asal kitab agama mereka. Ia juga membuktikan bahawa mereka menggunakan Al-Quran sebagai sumber paling dipercayai untuk mengakui ‘Allah’ sebagai nama Tuhan berbanding berhujah berdasarkan perbahasan sejarah dan ilmu bahasa.

• Alasan penterjemahan kepada Bahasa Malaysia sebagai lambang kepelbagaian yang wujud dalam populasi masyarakat Kristian Katolik juga tidak boleh diterima kerana Bahasa Melaysia berasal daripada Bahasa Melayu. Istilah ‘Malaysia’ belum wujud ketika perlembagaan digubal. Justeru itu, peristilahan khusus yang menjadi syiar dan perlambangan kepada masyarakat Melayu Islam sudah tentu tidak sekali-kali boleh diubah konsepnya untuk diterap kepada satu budaya dan agama lain.

• Kerajaan telah diberi hak oleh Perlembagaan Persekutuan dalam Perkara 11(4) (untuk mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa iktikad atau kepercayaan agama antara orang-orang yang menganuti agama Islam). Peruntukan ini jelas menunjukkan bahawa menggunakan kalimah ‘Allah’ sebagai terjemahan kepada perkataan ‘God’ di dalam Bible adalah menyalahi undang-undang yang sedang berkuatkuasa di negara ini.Oleh itu, ia tidak boleh disifatkan sebagai urusan dalaman gereja.


Apakah keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan?

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-82 yang bersidang pada 5-7 Mei 2008 memutuskan bahawa penggunaan kalimah ‘Allah’ adalah khusus buat agama dan umat Islam sahaja.

Apakah pandangan Tokoh Ulama Luar Negara ?

Pandangan Wakil al-Azhar (Timbalan Syeikh al-Azhar) dan Ketua Lajnah
Dialog Antara Agama al-Azhar, Fadhilat al-Syeikh Abdul Fattah ‘Allam

• Beliau berpendapat bahawa tindakan kerajaan Malaysia menegah penggunaan kalimah Allah dalam kalangan bukan Islam adalah tepat. Ini kerana kalimah Allah tidak boleh disamaertikan dengan kalimah Rabb yang membawa makna Yang Mewujudkan. Sebagaimana maklum penganut bukan Islam menamakan sebarang Tuhan yang mereka sembah seperti batu, haiwan, matahari dan lain-lain sebagai Allah. Hal ini sudah tentu amat tidak wajar sama sekali dan menyalahi maksud kalimah Allah itu sendiri sebagaimana yang termaktub di dalam Al-Qur’an dan Al-Hadith 21.

Pandangan Penasihat Undang-undang Kementerian Kehakiman Arab Saudi,
Syeikh Abdul Muhsin al-‘Abikan

• Beliau berpendapat bahawa pendekatan Kerajaan Malaysia ini adalah bertujuan untuk mengelakkan daripada penyalahgunaan nama ‘Allah’ melainkan hanya kepada Yang Maha Pencipta ( Tuhan yang sebenar ). Ia kerana terdapat agama agama lain yang juga menggunakan kalimah Allah bagi agama mereka sedangkan mereka adalah penyembah berhala, oleh itu nama ‘Allah’ tidak sepatutnya digunakan bagi menggambarkan Tuhan-tuhan yang selain-Nya.

Tokoh Pergerakan Perlembagaan Islam (Islamic Constitutional Movement)
Kuwait, Syeikh Abdul Hamid al-Ballali

• Beliau menyokong penuh keputusan kerajaan Malaysia untuk tidak membenarkan penganut bukan Islam menggunakan kalimah Allah sebagai panggilan bagi Tuhan mereka. Beliau beralasan bahawa keputusan tersebut amat signifikan bagi memelihara maksud istilah sebenar bagi kalimah Allah. Umat yang gagal memelihara istilah-istilah agamanya adalah umat yang leka. Sedangkan Allah SWT telah mengangkat umat ini sebagai sebaik-baik umat. Menurutnya lagi umat Islam perlu sedar banyak istilah-istilah yang berasal daripada Islam pada hari ini telah cuba dieksploitasi, disalahguna atau dipesongkan maknanya oleh pihak tertentu.


Apakah Kesan Negatif Sekiranya Penggunaan Kalimah ‘Allah’ Dibenarkan Kepada Golongan Kristian?

• Boleh menyebabkan ketegangan di kalangan orang Melayu kerana dianggap menggugat kesucian agama Islam kerana bagi umat Islam kalimah Allah hanya eksklusif untuk orang Islam sahaja.

• Masyarakat yang beragama Islam mempertikaikan keputusan Mahkamah Tinggi dan boleh menjejaskan kredibiliti Institusi Kehakiman Negara.

• Ia dianggap mencabar institusi beraja kerana Yang diPertuan Agong dan Raja-Raja Melayu adalah merupakan Ketua Agama Islam di Malaysia.

• Sekiranya perkataan Allah dibenarkan dalam akhbar Herald The Catholic Weekly, maka agama lain juga akan memohon untuk menerbitkan kalimah tersebut serta kalimah-kalimah lain berkaitan agama Islam dalam penerbitan melibatkan agama mereka.

Kesimpulan


Berdasarkan hujah-hujah yang telah dinyatakan, tiada sebab untuk kerajaan membenarkan penggunaan kalimah ‘Allah’ kepada pihak Kristian. Malah keputusan kerajaan adalah selari dengan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan yang menobatkan Islam sebagai agama bagi Persekutuan. Umat beragama di Malaysia telah sedia maklum bahawa sebarang isu yang berkaitan dengan Islam sama ada secara langsung atau tidak, seharusnya menghormati kedudukan istimewa agama Islam dan umat Melayu Islam di negara ini.

sumber:

http://pmr.penerangan.gov.my/index.php?option=com_content&task=view&id=5683&Itemid=

Itu ada artikel yang dipetik dari pmr. bukanlah menyangkal,namun ana ada pendapat ana sendiri. pendapat ini bukanlah atas dasar ana sebagai pelajar undang-undang. kita rakyat malaysia dan patuh pada perlembagaan Persekutuan.maaf jika bercanggah dengan pendapat orang lain. ana mungkin jahil tuki.namun bagi ana,penggunaan kalimah Allah bukan lah hak ekslusif orang Islam atau orang melayu, bukan hak mutlak kita. Allah adalah satu dan Esa untuk semua. tapi jika penggunaan kalimah Allah ini digunakan serta diperkotak-katikkan oleh orang bukan Islam maka ia bertentangan maksud ana. ini bukan bermakna ana bersetuju penggunaan kalimah Allah digunakan untuk menjatuhkan Islam. sebaliknya penggunaan yang betul dan menepati makna asal.jika difikirkan logik, sedia maklum bahawa hak raja dan Sultan dalam pentadbiran agama di negeri di mana raja adalah ketua agama Islam. contohnya, ana ana kelahiran negeri Pahang.penggunaan "Ya Allah, yang Maha Kuasa...." dalam lagu Negeri Pahang juga mengandungi senikata Ya Allah dan dinyanyikan oleh semua golongan tidak kira Islam atau bukan Islam. jadi, salahkah lagu tersebut dinyanyikan? ana bersekolah di SK P Methodist dan pelajar bukan Islam menghormati pelajar Muslim. dan memahami agama Islam. jadi sebagai muslim sejati kita janganlah cepat melatah dengan title muslim semata-mata :) maaf sekali lagi.


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...